Pembunuh bekas PM Jepun dipenjara seumur hidup
TOKYO – Lelaki yang dituduh membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Daerah Nara, di sini hari ini.
Laporan NHK menyebut, tertuduh, Tetsuya Yamagami, 45, sebelum ini mengaku bersalah atas pembunuhan Abe pada Julai 2022 ketika bekas pemimpin itu sedang berucap semasa kempen pilihan raya di bandar Nara, di barat Jepun.
Abe, salah seorang ahli politik paling berpengaruh di Jepun, ketika itu berkhidmat sebagai ahli Parlimen biasa selepas melepaskan jawatan perdana menteri.
Pembunuhannya pada 2022 telah mengejutkan negara itu yang terkenal dengan kawalan senjata api yang ketat.
Yamagami, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dalam perbicaraan yang bermula sejak Oktober tahun lalu.
Kes tersebut turut mendedahkan hubungan rapat yang telah lama terjalin antara parti pemerintah Jepun dan sebuah gereja kontroversi dari Korea Selatan.
Ketika prosiding perbicaraan, Yamagami mengaku membunuh Abe selepas melihat mesej video yang dihantar oleh bekas pemimpin itu kepada sebuah kumpulan yang berkait dengan Gereja Unification.
Dia menambah, tujuannya adalah untuk mencederakan gereja itu, yang dibencinya, serta mendedahkan hubungannya dengan Abe.
Abe ditembak pada 8 Julai 2022 ketika sedang berucap di luar sebuah stesen kereta api di Nara.
Difahamkan, Yagami pada mulanya merancang untuk membunuh ketua Gereja Unification, tetapi menukar sasarannya kepada Abe kerana sukar untuk mendekati pemimpin gereja tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






