JENAYAH & MAHKAMAH

Pendakwaan warga Nepal suspek kes bunuh 2 beranak ditangguhkan

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap lelaki warga Nepal yang dituduh membunuh dua beranak di Juru, pada 18 Oktober lalu.

Penangguhan itu susulan tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, dikatakan tidak memahami bahasa Melayu dan memerlukan jurubahasa bagi membolehkan pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya, lapor BH Online.

Majistret Nurul Rasyidah Akit kemudiannya menetapkan 26 November depan untuk lantikan jurubahasa Nepal dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada prosiding hari ini, tertuduh sepatutnya didakwa atas dua pertuduhan kerana membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Sekolah di Juru.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman gantung.

Timbalan Pendakwa Raya Zulfadli Hassan dan Anis Suhada Rosli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 18 Okt, dilaporkan ibu bersama anak angkatnya ditemukan maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka, sekitar 7.30 malam.

Kedua-dua mereka ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan terputus tangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button