Suspek tetak abang ipar ada rekod rawatan psikiatri
ALOR SETAR – Suspek yang disyaki menetak abang iparnya sehingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun, Jumaat lalu, didapati mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Alor Setar kerana mengalami kemurungan sejak 2021.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, bagaimanapun berkata, suspek berusia 38 tahun itu dipercayai tidak mahu meneruskan rawatan psikiatri sejak kira-kira lima bulan lalu serta enggan makan ubat.
Justeru, beliau berkata, suspek disyaki mengalami halusinasi sebelum bertindak menetak abang iparnya yang berusia 45 tahun.
“Suspek mempunyai kad rawatan (psikiatri), namun dia dipercayai berhenti atau enggan menerima rawatan sejak empat hingga lima bulan lalu.
“Saya percaya ia lebih kepada halusinasi. Dia berkemungkinan mempunyai prasangka buruk terhadap mangsa, dipercayai akibat halusinasi susulan berhenti makan ubat serta enggan lagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Adzli berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Adzli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dengan suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang lelaki maut dengan kepalanya putus akibat ditetak adik ipar dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3, malam Jumaat lalu.
Polis turut menemukan beberapa kesan tetakan pada badan mangsa, Nasir Md Nayan, selain menjumpai bahagian kepala yang putus itu kira-kira satu meter dari badan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





