KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fahmi seru pemain industri bina keupayaan digital, perkukuh keselamatan siber

SUBANG JAYA – Kementerian Komunikasi menyeru pemain industri membina keupayaan digital menerusi pengukuhan keselamatan siber, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dan perkongsian amalan terbaik.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu penting bagi memastikan manfaat teknologi digital dapat dinikmati secara mampan sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi digital yang berdaya saing.

Menurut beliau, apabila semakin banyak organisasi mengguna pakai teknologi digital, aspek kepercayaan perlu diberi keutamaan setanding dengan inovasi.

“Perusahaan perlu yakin bahawa infrastruktur digital yang digunakan adalah selamat. Pengguna pula perlu mempunyai keyakinan bahawa data mereka dilindungi, manakala organisasi perlu mengguna pakai AI secara bertanggungjawab, telus dan beretika.

“Semua ini merupakan asas penting kepada pembentukan ekonomi digital yang berdaya tahan,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan U Mobile Enterprise Innovation Platform Hub di sini hari ini.

Fahmi berkata, kerajaan kekal komited memperkukuh keselamatan siber, meningkatkan daya tahan rangkaian komunikasi serta menggalakkan penggunaan AI secara beretika, telus dan bertanggungjawab bagi memastikan pembangunan ekonomi digital negara kekal mampan dan inklusif.

Pada masa sama, beliau memuji usaha U Mobile yang berjaya menghimpunkan rakan strategik utama, ahli panel penasihat, peneraju teknologi, inovator, institusi akademik dan pihak berkepentingan sektor awam menerusi platform tersebut.

Katanya, model kerjasama sedemikian mencerminkan pendekatan keseluruhan ekosistem yang diperlukan Malaysia bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi baharu.

Menurut beliau, kerajaan menyediakan dasar yang kondusif dan kepastian dari sudut kawal selia, manakala industri memacu pelaburan serta inovasi komersial, sementara institusi akademik bertanggungjawab melahirkan bakat, penyelidikan dan keupayaan masa depan.

“Melalui kerjasama ini, kita mampu menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan pada skala besar, sekali gus memperkukuh industri, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia sebagai antara ekonomi digital terkemuka di rantau ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button