BERITA SEMASA

Kelemahan pengurusan projek punca kerugian wang rakyat berulang – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR- Sikap sambil lewa, kurang rasa tanggungjawab dan ketiadaan akauntabiliti dalam pengurusan projek kerajaan menjadi antara punca kerugian wang pembayar cukai terus berulang, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, meskipun negara sudah hampir 70 tahun mencapai kemerdekaan dan berlaku pertukaran kerajaan, kelemahan sama masih berlaku sehingga menjejaskan pelaksanaan projek yang dibiayai menggunakan wang rakyat.

Menurutnya, teguran yang dibuat berhubung projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kelemahan dalam pengurusan projek kerajaan dapat diperbaiki.

“Saya tahu ada yang tak gembira dengan saya bila kongsikan apa yang berlaku dengan projek LRA di Kedah. Ada yang panggil saya “ceplos” kerana saya sentuh kelemahan pengurusan projek untuk rakyat menggunakan wang pembayar cukai.

“Ada juga yang kata, ini bukan kerja saya, kerja menteri jaga dasar sajalah. Tetapi saya mohon maaf sebab kita tak boleh lagi buat kerja secara business as usual,” katanya dalam hantaran di X.

Baca juga : Selat Hormuz ditutup lagi, Malaysia perlu bersedia hadapi impak ekonomi

Akmal Nasrullah berkata, isu berkenaan bukan hanya berkaitan soal dasar kerana dasar kerajaan sentiasa berubah mengikut keperluan semasa, sebaliknya membabitkan sikap dan mentaliti yang perlu diperbetulkan.

Beliau berkata, perkembangan projek LRA di Kedah sudah lama diikuti dan dipantaunya, termasuk ketika penyelarasan projek itu dipindahkan daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kepada Kementerian Ekonomi.

Katanya, beberapa teguran telah dikemukakan sebelum ini, namun beliau tidak melihat usaha penambahbaikan yang sewajarnya sehingga kebimbangan yang disuarakan akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya sudah buat apa yang termampu, tetapi amaran saya tidak diendahkan sehinggalah nasi menjadi bubur,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button