SPRM bongkar sindiket seludup tayar akibatkan negara rugi RM350 juta
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket penyeludupan tayar yang dipercayai mengakibatkan kerugian hasil cukai negara dianggarkan mencecah RM350 juta sejak tahun 2020.
Menurut sumber SPRM, operasi khas itu dijalankan serentak semalam di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, membabitkan syarikat pengimport tayar, gudang serta kontena simpanan.
SPRM turut membekukan akaun bank syarikat dan individu bernilai kira-kira RM70 juta, selain meneruskan siasatan untuk mengesan serta menyita aset lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan pegawai kastam dan pengimport tayar.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Zamri Zainul Abidin, mengesahkan operasi itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Isu tayar celup dan tayar terpakai berkualiti rendah adalah ‘bom jangka’ yang mengancam keselamatan pengguna dan berpotensi menyebabkan kemalangan.
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram atau penyeludupan yang merugikan negara,” memetik laporan FMT.
Operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






