Op Heart: SPRM tahan Pengerusi IJM Corporation
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Pengerusi Syarikat IJM Corporation Berhad susulan kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu telah ditahan pada pukul 7 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini selepas kediaman beliau diselongkar.
“SPRM telah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan; sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.
“Siasatan awal mendapati bank pelaburan tersebut telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) telah menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara dan potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Sehubungan itu, SPRM telah membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
“Siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
“Setakat ini SPRM telah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan,” kata sumber.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.
“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.
Tambah beliau, suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan suspek turut mengalami masalah kesihatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








