POLITIK

PRN Melaka: PH giat perkenal calon, kempen berjalan lancar – Mohamad Sabu

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) giat memperkenalkan calon-calonnya kepada masyarakat sepanjang minggu pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi memastikan pengundi mengenali individu yang diketengahkan parti itu.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini perkembangan kempen PH berjalan lancar meskipun terdapat calon yang sudah dikenali dan sebahagian lagi pertama kali diberi peluang bertanding.

Menurutnya, usaha memperkenalkan calon kepada masyarakat akan terus dipergiatkan menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

“Setakat ini perkembangan baik. Ada calon yang telah dikenali dan ada juga yang pertama kali diturunkan.

“Jadi usaha memperkenalkan calon kepada masyarakat itu digiatkan dalam minggu pertama ini dan Alhamdulillah, setakat ini ia berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra (walkabout) di Durian Tunggal bersama calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, hari ini.

Mengulas isu pertanian yang menjadi antara perhatian penduduk di kawasan itu, Mohamad berkata, setiap aduan berkaitan sektor berkenaan perlu diteliti secara berasingan bagi mencari penyelesaian bersesuaian.

“Isu pertanian akan terus wujud dan pendekatan terbaik adalah dengan meneliti setiap permasalahan mengikut keadaan serta kemampuan pihak berkaitan untuk membantu.

“Isu ini sampai bila-bila pun akan ada. Jadi kalau isu pertanian, kita tengok satu demi satu. Kalau ada aduan, kita cari penyelesaian terbaik sekadar yang kita boleh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jualan agro yang dianjurkan turut mendapat sambutan baik penduduk Melaka kerana menawarkan barangan pada harga lebih rendah berbanding kedai lain.

Menurutnya, perbezaan harga sekitar 10 hingga 30 peratus menjadi antara faktor yang menarik kehadiran orang ramai.

Sementara itu, Mohamad berkata, PH akan terus bekerja keras sepanjang baki tempoh kempen dan menyerahkan keputusan akhir kepada pengundi pada 14 November ini.

“Kempen pilihan raya merupakan medan perjuangan yang memerlukan usaha berterusan, manakala keputusan sebenar hanya akan diketahui selepas proses pengundian selesai,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button