BERITA SEMASA

PH Putrajaya salur subsidi suntikan Tifoid untuk peniaga bazar Ramadan

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) Putrajaya melaksanakan inisiatif kebajikan dengan menyalurkan subsidi suntikan tifoid kepada peniaga bazar Ramadan di kawasan itu bagi meringankan beban kos yang perlu ditanggung sebelum memulakan perniagaan.

Ketua Cabang PKR Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama PH bersama PKR, DAP dan AMANAH Putrajaya, khususnya bagi membantu peniaga kecil yang berdepan kos permulaan tinggi menjelang bulan Ramadan.

Beliau berkata, suntikan tifoid yang diwajibkan kepada peniaga bazar Ramadan di Putrajaya dianggarkan bernilai sekitar RM80, namun menerusi inisiatif tersebut, peniaga hanya perlu membayar RM25, manakala baki RM55 ditanggung sepenuhnya oleh PH Putrajaya.

“Kita membuka penyertaan kepada 100 peniaga terawal dan sekiranya terdapat keperluan serta peluang, program ini akan diperluaskan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau turut berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan aspek kebajikan dan kesihatan peniaga terus terpelihara, di samping mengurangkan tekanan kewangan yang sering dihadapi peniaga kecil setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dengan majoriti yang lebih baik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan, yang menurutnya membuktikan sokongan berterusan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kemenangan ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik dan hala tuju kerajaan sedia ada dalam mengurus tadbir negara serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata, setakat ini tiada isu berkaitan tapak bazar Ramadan dan tiada aduan daripada peniaga di Putrajaya.

“PH Putrajaya akan terus mengutamakan pendekatan berteraskan kebajikan rakyat dengan melaksanakan program yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat, khususnya golongan peniaga kecil dan sederhana,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button