POLITIK

Turnout tinggi penentu nasib PH di Pekan Nanas

PEKAN NANAS – Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh mengingatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu selesa dengan sambutan ceramah yang semakin meriah, sebaliknya memberi fokus kepada peratusan keluar mengundi yang disifatkannya sebagai penentu kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas.

Menurutnya, pengalaman pilihan raya lalu membuktikan calon PH, Yeo Tung Siong menang ketika kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus, namun tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 apabila turnout merosot kepada sekitar 60 peratus.

“Orang ramai hadir ceramah atau memenuhi kopitiam bukan ukuran kemenangan. Ukuran sebenar ialah berapa ramai yang keluar mengundi pada hari pengundian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hannah berkata, setiap undi amat penting bagi memastikan Pekan Nanas diwakili seorang ADUN yang bukan sekadar menyelesaikan masalah rakyat, tetapi mampu membawa pembangunan dan memperjuangkan kepentingan penduduk di Dewan Undangan Negeri.

Beliau turut berkata, Yeo mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti apabila berjaya membawa beberapa projek pembangunan sepanjang tempoh 22 bulan menjadi ADUN kawasan itu.

“Penyokong PH perlu memastikan sokongan yang ditunjukkan sepanjang kempen diterjemahkan kepada undi bagi mengembalikan semula kerusi DUN Pekan Nanas kepada gabungan itu,” katanya lagi.

Pada PRN Johor kali ini, Yeo yang juga bekas ADUN Pekan Nanas selama dua penggal berdepan saingan penyandang kerusi tersebut, Tan Eng Meng dari MCA mewakili Barisan Nasional (BN).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button