JENAYAH & MAHKAMAH

Zii Jia mohon injunksi halang bapa, kakak buat keputusan kewangan syarikat

KUALA LUMPUR – Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia memohon injunksi interim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan serta pengurusan syarikat LZJ Management sementara pertikaian undang-undang masih berjalan.

Permohonan itu difailkan menerusi saman bertarikh 2 Julai 2026 dengan nombor kes WA-24NCC-400-07/2026.

Selain bapanya, Lee Chee Hin dan kakaknya, Lee Zii Yii, Zii Jia turut menamakan adiknya, Lee Tao serta LZJ Management sebagai responden dalam prosiding berkenaan.

Menerusi permohonan itu, Zii Jia memohon supaya Chee Hin dan Zii Yii, yang juga pengarah syarikat, dilarang meluluskan fi pengarah, elaun, bonus atau sebarang manfaat kewangan lain untuk diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing.

Beliau turut memohon sekatan terhadap keputusan berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset utama, penerbitan saham baharu serta perubahan struktur pemilikan saham tanpa kelulusan mahkamah.

Menurut dokumen permohonan itu, Zii Jia mendakwa memiliki 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Lee Tao satu peratus.

Selain injunksi interim, pemain berkenaan turut memohon perintah mahkamah supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan tadbir urus syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button