GAYA HIDUP

Empat dekad pengalaman jadi sandaran, Dr Kamsiah terus kendali kes pergigian kompleks

KUALA LUMPUR – Pada usia 63 tahun, Dr Kamsiah Haider masih aktif mengendalikan kes pergigian kompleks, berbekalkan pengalaman hampir empat dekad serta kepakaran dalam bidang implan pergigian dan pemulihan keseluruhan mulut.

Meskipun kini hanya bekerja dua hari seminggu, beliau terus memberi tumpuan kepada rawatan pesakit, manakala pengurusan perniagaan keluarga itu diserahkan kepada anaknya, Elyas Izzat, yang membawa pendekatan lebih moden menerusi pemasaran digital dan peluasan operasi.

Kamsiah berkata, beliau memulakan kerjaya selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada 1987 sebelum berkhidmat sebagai pensyarah dan melanjutkan latihan dalam bidang pergigian di luar negara.

Minatnya terhadap implan pergigian berkembang ketika mengikuti latihan di Sweden dari 1990 hingga 1993, sebelum meneruskan pembelajaran bersama pakar di Perth, Australia, pada 1995 serta mengikuti latihan dalam teknik rawatan khusus di beberapa negara lain.

Pengalaman itu membolehkannya mengendalikan prosedur kompleks, termasuk rawatan yang membolehkan pesakit menjalani cabutan gigi, pemasangan implan dan menerima gigi baharu pada hari sama, tertakluk kepada keadaan serta kesesuaian klinikal.

Menurutnya, penggunaan teknologi digital seperti pengimbas muka dan pengimbas intraoral turut membantu doktor merancang rawatan dengan lebih terperinci mengikut keadaan setiap pesakit.

“Ramai yang ada komputer, tetapi tak ramai boleh buat. Sebab nak kena faham konsep. Orang boleh terer IT, tapi tak ada konsep,” katanya ketika berkongsi pengalamannya menggunakan teknologi digital dalam rawatan pergigian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis pembukaan klinik baharu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

dr kamsiah
Majlis pembukaan klinik pergigian baharu Dr Kamsiah Dental Clinic di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Selepas hampir 30 tahun beroperasi di premis lama, beliau mengambil keputusan mengembangkan perniagaan itu menerusi pembukaan klinik baharu bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin meningkat.

“Pada usia 63 tahun, saya bukan bermula dari kosong. Saya memulakan langkah ini dengan hampir 40 tahun pengalaman di belakang saya dan itu memberikan perbezaan yang sangat besar,” katanya.

Dalam pada itu, kepakaran Dr Kamsiah turut menarik pesakit dari pelbagai lokasi, termasuk Johor, Kelantan, Singapura serta Riau dan Medan di Indonesia.

Beliau berkata, ada antara mereka mendapatkan khidmatnya selepas menjalani pemeriksaan di beberapa klinik lain tanpa memperoleh penyelesaian bagi masalah pergigian yang dihadapi.

Selain merawat pesakit, Kamsiah turut berkongsi pengetahuan dengan doktor gigi lain menerusi latihan secara individu atau kumpulan kecil bagi membantu mereka memahami penggunaan teknologi dan teknik rawatan yang dikuasainya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button