BERITA SEMASA

KKM nafi berlaku lonjakan kes akibat strain baharu Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan berlaku lonjakan kes Covid-19 di negara ini sehingga menyebabkan satu daripada enam atau tujuh kes mengalami jangkitan paru-paru seperti tular di aplikasi WhatsApp.

Menurut KKM, dakwaan yang mengaitkan lonjakan kes dengan strain virus baharu sehingga menyebabkan ada mangsa terpaksa diberikan bantuan pernafasan itu tidak benar sama sekali.

“Kenyataan ini sama sekali tidak benar kerana ketika ini kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke wad hanya sekitar 2 hingga 3 peratus.

“Tiada kejadian wad penuh bagi kemasukan pesakit Covid-19 di hospital telah dilaporkan,” kata KKM dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, orang ramai digesa untuk tidak mudah terpengaruh dengan mesej yang ditularkan secara berantai kerana tidak diketahui sumber kesahihannya dalam media sosial.

“Rujuklah portal KKMNOW di data.moh.gov.my untuk mendapatkan status semasa kes Covid-19 bagi memperjelaskan mengenai situasi sebenar,” katanya.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp satu mesej yang dibuat oleh seorang individu kononnya kes jangkitan Covid-19 meningkat dalam tiga minggu kebelakangan ini dengan strain berbeza daripada jenis Omicron yang kebanyakannya mengakibatkan demam, sakit tekak, batuk atau selesema ringan.

“Trend kali ini didapati satu daripada tujuh pesakit ada jangkitan pada paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan. Kebanyakannya golongan berumur,” dakwanya.

Dalam mesej sama, individu tersebut turut mendakwa terdapat wad Covid-19 yang kosong dalam sekelip mata penuh dengan pesakit dan jika ia berlarutan bekalan ubatan untuk merawatnya mungkin kehabisan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button