BERITA SEMASA

KKM arah pengeluar mi segera tarik semula produk di pasaran

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan pihak syarikat pengeluar mi segera tempatan dan Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide menarik semula produk di pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, namun pihaknya mendapati sampel mi segera produk tempatan mematuhi perundangan.

“Bagi memastikan kawalan keselamatan makanan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk menarik balik produk tersebut secara sukarela yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

“Seterusnya, berdasarkan semakan data dari Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia, KKM juga mengesahkan terdapat kemasukan produk mi segera keluaran negara Indonesia ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Muhammad Radzi lagi, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama dari Indonesia di semua pintu masuk negara.

Dalam pada itu, Muhammad Radzi menjelaskan isu penarikan semula produk keluaran negara Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada tahun 2022.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun import.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan mendapati 11 daripadanya mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil,” katanya.

Tambah beliau, tindakan itu termasuklah kompaun, perintah mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran.

Terdahulu, tersebar di media sosial Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button