BERITA SEMASA

KKM sedia serap 850 pelajar NUMed jalani ‘housemanship’ di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedia menempatkan 850 pelajar perubatan Malaysia dari Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) bagi menjalani latihan siswazah atau ‘housemanship’ di tanah air.

Langkah ini diambil susulan perubahan dasar yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan, masa depan kesemua mahasiswa terbabit juga tidak terjejas kerana ijazah di NUMed tetap diiktiraf di bawah Akta Perubatan 1971.

“Kami faham kekecewaan pelajar terhadap perubahan dasar di UK. Anda tidak akan terkandas walaupun UK mengubah dasar mereka, KKM sedia menyerap anda untuk menjalani latihan siswazah di 48 hospital latihan di seluruh Malaysia.

“Namun fokus utama saya sebagai Menteri Kesihatan adalah memastikan bakat perubatan kita ada tempat untuk berkembang. Jika UK tutup pintu, Malaysia sentiasa buka pintu untuk anda pulang berkhidmat,” katanya memetik Buletin TV3.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect Conference 2026 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kebimbangan kira-kira 850 pelajar perubatan Malaysia di NUMed susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh UK yang mengubah syarat kemasukan ke Program Asasi (FY1/FY2).

Kesan daripada perubahan dasar tersebut, pelajar NUMed kini tidak lagi diberikan keutamaan untuk mengikuti latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom.

Dzulkefly berkata, Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) KKM turut mengesahkan tiada halangan untuk kumpulan graduan berkenaan dilatih di Malaysia menggunakan modul sedia ada, tertakluk syarat kemasukan sedia ada.

Katanya, permohonan boleh dibuat secara terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melalui sistem permohonan jawatan SPA9, dengan antara syarat memenuhi kriteria skim perkhidmatan, termasuk lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi bukan warganegara, selaras dengan peruntukan undang-undang, permohonan boleh dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Kontrak (JPPK) di bawah KKM sebelum disahkan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan SPA,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia memiliki kapasiti yang mencukupi untuk menempatkan kesemua mahasiswa terbabit bagi menjalani latihan siswazah di dalam negara.

Langkah ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan bakat tempatan terus berbakti demi kepentingan tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button