Jerebu: Premis KAFA di kawasan IPU melebihi 180 ditutup – JAKIM
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) secara bertulis diteruskan mengikut jadual ditetapkan walaupun premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan terjejas jerebu diarahkan tutup berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, semua premis KAFA di kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 180 perlu ditutup mulai hari ini bagi melindungi kesihatan dan keselamatan guru serta murid.
Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keselamatan dan kesihatan warga KAFA susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
“JAKIM menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid dan guru KAFA susulan keadaan jerebu yang melanda di negara ini.
“Sehubungan itu, JAKIM ingin memaklumkan bahawa semua premis KAFA di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan semalam.
Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut pula, penutupan premis KAFA perlu dilaksanakan mulai Isnin, 12 Oktober.
Sirajuddin berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) perlu dilaksanakan oleh premis KAFA yang terjejas menggunakan kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesediaan guru.
“Penyelia KAFA juga perlu memantau pelaksanaan sesi PdPR berdasarkan kepada kaedah yang digunakan oleh guru KAFA di daerah masing-masing,” katanya.
Beliau turut meminta ibu bapa dan penjaga memastikan anak masing-masing berada di rumah serta mengurangkan aktiviti luar sepanjang tempoh penutupan premis berkenaan.
Mengenai UPKK, Sirajuddin berkata, peperiksaan bertulis itu akan diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Namun demikian, jika jerebu masih berlarutan, JAKIM akan mengeluarkan panduan khusus bagi pelaksanaan UPKK kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN).
“PBAN hendaklah membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, JAKIM akan terus memantau perkembangan jerebu bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta guru KAFA sentiasa terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








