BERITA SEMASA

Lapan kawasan catat IPU tidak sihat, Serian rekod bacaan tertinggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kawasan di negara ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 7 pagi ini dengan Serian, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 173.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), keadaan cuaca yang kering serta tiupan angin dari kawasan yang terjejas dengan kebakaran terbuka boleh menyumbang kepada peningkatan kepekatan zarah pencemar di atmosfera.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), dua lagi kawasan di Sarawak yang berada pada tahap tidak sihat ialah Sri Aman dengan bacaan 171 dan Kuching (134).

Di Semenanjung Malaysia, lima lokasi turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Johan Setia, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur yang masing-masing merekodkan bacaan 152, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (127), Seremban (122) serta Putrajaya (121).

Setakat tempoh sama, sebanyak 58 stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala hanya dua lokasi berada pada tahap baik.

Antara kawasan yang mencatatkan bacaan sederhana ialah Alor Gajah, Melaka (100), Indera Mahkota, Kuantan (97), Tangkak, Johor (96), Seri Manjung, Perak (92) dan Kemaman, Terengganu (89).

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button