BERITA SEMASA

’10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr Euodia demi mommy’

KUCHING – Impian seorang remaja, Euodia untuk bergelar doktor selepas kehilangan ibunya dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) di Long Lellang, Baram pada 8 September lalu, mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung kos pendidikan Euodia sehingga dia berjaya merealisasikan impiannya menjadi seorang doktor.

Euodia, 15, merupakan anak kepada mendiang jururawat Debra Moset, 40, yang terkorban dalam nahas helikopter berkenaan.

Sebelum ini, Euodia meluahkan kesedihannya atas pemergian ibunya menerusi satu hantaran yang menyentuh hati, selain berjanji untuk membawa gelaran doktor demi wanita yang disayanginya itu.

“Saya janji, 10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr Euodia demi mommy,” tulisnya yang kemudian dikongsi Public Health Malaysia (PHM) sekali gus menyentuh hati netizen.

Menurut luahan itu, mendiang Debra pernah berjanji untuk menemani Euodia sehingga dia berjaya menjadi doktor, malah mereka turut menyimpan impian untuk bekerja bersama di tempat yang sama.

Namun, impian berkenaan tidak sempat disaksikan Debra selepas beliau terkorban dalam nahas ketika menjalankan tugas memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di pedalaman.

Selain Euodia, bantuan pendidikan yang sama turut diberikan kepada anak-anak mangsa lain yang terkorban dalam nahas tersebut.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak turut mengumumkan bantuan kewangan RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa, selain menyediakan pembiayaan pendidikan untuk anak-anak mereka menerusi Yayasan Sarawak.

Bantuan berkenaan diharap dapat memastikan tragedi yang menimpa keluarga mangsa tidak menjejaskan masa depan anak-anak yang ditinggalkan.

Bagi Euodia, perjalanan untuk merealisasikan impian menjadi doktor kini diteruskan dengan sokongan seluruh Sarawak, biarpun ibunya tidak lagi berada di sisinya untuk menyaksikan kejayaan itu.

“Impian untuk bergelar ‘Dr Euodia’ bukan sekadar cita-cita seorang anak, sebaliknya menjadi simbol kasih dan pengorbanan seorang ibu yang pernah berkhidmat jauh di pedalaman demi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat,” kata PHM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button