Jangan perkecil sakit senggugut, pasangan disaran beri sokongan – PHM
KUALA LUMPUR – Pasangan disaran supaya tidak memperkecilkan kesakitan yang dialami wanita ketika datang haid, sebaliknya memberikan sokongan dan memahami keperluan mereka ketika berdepan senggugut.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di media sosial berkata, senggugut bukan sekadar sakit biasa kerana bagi sesetengah wanita, ia boleh menyebabkan kekejangan kuat di bahagian bawah perut, sakit pinggang, loya, sakit kepala, cirit-birit, keletihan dan perubahan emosi.
Menurutnya, pasangan tidak seharusnya menganggap kesakitan itu sebagai sesuatu yang remeh dengan mengatakan ia perkara biasa atau akan hilang selepas tidur.
“Kadang-kadang dia bukan perlukan nasihat panjang. Dia perlukan seseorang yang faham,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
PHM turut menyarankan pasangan bertanya secara langsung mengenai keperluan wanita yang sedang mengalami sakit haid, termasuk sama ada mereka memerlukan tuam panas, urutan, makanan atau sekadar ditemani.
Katanya, pasangan juga boleh menyediakan pad pemanas atau botol berisi air panas untuk diletakkan pada bahagian bawah perut atau pinggang, selain membantu mengurut secara perlahan sekiranya wanita berkenaan selesa.
Dalam pada itu, pasangan digalakkan mengambil alih tugasan kecil di rumah seperti mengambilkan air, makanan, ubat atau pad sanitari kerana perkara yang kelihatan kecil boleh memberi makna besar kepada seseorang yang sedang menahan kesakitan.
“Kalau dia perlukan ruang, beri ruang. Kalau dia perlukan pelukan, peluk,” katanya.
Pada masa sama, PHM mengingatkan bahawa walaupun sakit ketika haid merupakan perkara yang biasa berlaku, kesakitan yang terlalu kuat sehingga mengganggu pekerjaan, persekolahan, tidur atau aktiviti harian tidak seharusnya dianggap normal begitu sahaja.
Wanita yang mengalami sakit semakin teruk, pendarahan terlalu banyak, pengsan, demam atau sakit yang luar biasa daripada kebiasaan disaran mendapatkan pemeriksaan perubatan.
Menurut PHM, sokongan terbaik daripada pasangan tidak semestinya dengan cuba menyelesaikan segala-galanya, sebaliknya dengan berada di sisi dan bertanya apa yang boleh dilakukan untuk membantu mereka berasa lebih selesa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








