BERITA SEMASA

Hadap skrin, duduk dalam ‘aircond’ lebih memenatkan dari kerja fizikal

KUALA LUMPUR – Pendedahan berpanjangan kepada skrin komputer dan telefon boleh menyebabkan keletihan melampau walaupun individu hanya duduk di dalam ‘aircond’ dan tidak melakukan kerja fizikal berat.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook hari ini, keadaan yang dikenali sebagai ‘Digital Eye Strain’ itu berlaku apabila mata dan otak berada dalam tekanan biologi tinggi akibat fokus berterusan terhadap skrin digital.

“Duduk dalam ‘aircond’ menghadap komputer 2 jam, tapi penat dia macam lepas lari maraton?

“Pernah tak anda terfikir, kenapa buat kerja fizikal (macam kemas rumah atau berkebun) selama 2 jam rasa kurang penat berbanding merenung skrin Excel atau siapkan ‘slide’ di pejabat dalam tempoh yang sama?

“Anda bukan mengada-ngada. Sains perubatan memanggil fenomena ini sebagai ‘Digital Eye Strain’ atau Kepenatan Cahaya Biru.

“Walaupun badan anda tidak bergerak, otak dan mata anda sedang melalui seksaan biologi yang sangat ekstrem,” tulis PHM.

Menurut perkongsian itu, terdapat tiga punca utama yang menyebabkan tenaga mental ‘disedut’ keluar ketika bekerja di hadapan skrin:

1. Sindrom lupa kelip mata

Secara normal, manusia berkelip sekitar 15 hingga 20 kali seminit bagi memastikan permukaan mata sentiasa lembap.

Namun apabila fokus pada skrin, kadar kelipan boleh merosot kepada hanya lima hingga tujuh kali seminit.

Akibatnya, air mata cepat menyejat dan mata menjadi kering serta pedih. Otak mentafsirkan keadaan ini sebagai bentuk kesakitan fizikal lalu mencetuskan rasa letih ke seluruh tubuh.

2. Otot mata kejang (Ciliary Spasm)

Mata manusia tidak direka untuk menumpukan pandangan pada jarak dekat secara berterusan selama berjam-jam.

Di dalam bebola mata terdapat otot kecil dikenali sebagai otot siliari (ciliary muscle) yang berfungsi melaras fokus.

Apabila terlalu lama melihat skrin, otot ini terpaksa mengecut tanpa henti sehingga mengalami kekejangan.

Kesan paling biasa ialah sakit kepala jenis ‘tension headache’ terutama di bahagian dahi dan sekitar mata.

3. Tipu helah cahaya biru

Skrin digital memancarkan cahaya biru buatan dalam kadar yang tinggi.

Cahaya ini menembusi hingga ke retina dan memberi isyarat palsu kepada otak seolah-olah waktu masih siang.

Akibatnya, otak berada dalam keadaan berjaga-jaga atau ‘hyper-alert’ untuk tempoh panjang.

Mod ini menggunakan glukosa otak secara berlebihan dan menyebabkan keletihan mental yang ketara walaupun tubuh tidak melakukan kerja berat.

Formula 20-20-20: Langkah mudah selamatkan mata

Sebagai langkah pencegahan, pakar oftalmologi menyarankan amalan formula 20-20-20 iaitu setiap 20 minit menghadap skrin, alihkan pandangan ke objek sejauh 20 kaki (kira-kira enam meter) selama sekurang-kurangnya 20 saat.

Tempoh singkat ini membantu melegakan kekejangan otot mata serta memulihkan semula fokus dan tenaga mental.

“Tolong selamatkan mata anda hari ini. Tindakan 20 saat ini sudah cukup ‘melepaskan’ kekejangan otot mata anda dan meremajakan semula tenaga mental otak,” tegas PHM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button