Isi durian boleh dinikmati lebih lama guna kaedah pembekuan – PHM
KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh membekukan isi durian bagi memanjangkan tempoh simpanan terutama ketika musim durian murah, namun kaedah penyimpanan yang betul perlu dipatuhi bagi mengekalkan kualiti dan keselamatan makanan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Public Health Malaysia (PHM) memaklumkan isi durian perlu diasingkan daripada kulit sebelum disimpan dalam bekas kedap udara mengikut bahagian kecil bagi memudahkan penggunaan.
Menurut PHM, bekas simpanan juga disarankan dilabel dengan tarikh penyimpanan sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku pada suhu sekitar -18 darjah Celsius.
“Untuk rasa terbaik, durian beku disyorkan dimakan dalam tempoh satu hingga dua bulan.
“Apabila ingin dimakan, cairkan terlebih dahulu di bahagian chiller peti sejuk. Elakkan membiarkannya terlalu lama pada suhu bilik dan jangan membekukan semula isi durian yang telah dinyahbeku,” katanya.
PHM menjelaskan, selain memanjangkan jangka hayat simpanan, kaedah pembekuan juga membantu mengurangkan pembaziran makanan serta memudahkan penyediaan pelbagai hidangan seperti pengat, crepe dan aiskrim durian.
Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil risiko memakan durian yang menunjukkan tanda-tanda rosak seperti berbau masam luar biasa, berlendir, berbuih, berkulat atau mengalami perubahan rasa kerana boleh menjejaskan kesihatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








