Eksport durian dijangka cecah RM1.5 bilion tahun ini – Mohamad Sabu
GUA MUSANG – Nilai eksport durian negara dijangka melepasi RM1.5 bilion tahun ini berikutan permintaan tinggi dari pasaran utama antarabangsa, termasuk China, Singapura, Hong Kong dan Kanada.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, nilai eksport durian ke luar negara menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun sejak 2018, sekali gus membuktikan potensi besar komoditi itu di peringkat global.
“Jumlah nilai eksport durian meningkat sebanyak 256.3 peratus iaitu daripada RM321.2 juta pada 2018 kepada RM1.14 bilion pada 2022, bersamaan kenaikan RM822.8 juta,” katanya semasa merasmikan Pesta Durian 2025 Gua Musang di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), semalam.
Menurut Mohamad, durian kini menjadi antara komoditi agromakanan bernilai tinggi yang bukan sahaja menyumbang pulangan besar kepada negara, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat di pelbagai peringkat.
Mengulas laporan pasaran durian segar global oleh Mordor Intelligence (2024), beliau berkata nilai pasaran dunia dijangka mencecah AS$10.78 bilion menjelang 2025 dan meningkat kepada AS$16.89 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.4 peratus.
“China kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan itu apabila menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah import durian di Asia Pasifik, menjadikannya pasaran strategik utama bagi pengeksport Malaysia,” ujarnya.
Tambah beliau, promosi menerusi pesta dan program seumpama itu penting dalam merangsang pertumbuhan sektor pertanian bernilai tinggi serta membina rantaian nilai yang melibatkan pekebun, logistik, peruncit, industri pemprosesan dan pelancongan.
Sebelum ini, akses eksport ke China hanya terhad kepada durian dalam bentuk ulas dan pes sejak 2011 serta durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018.
“Namun pada 19 Jun 2024, Malaysia berjaya memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari bagi pengeksportan buah durian segar ke China, sekali gus membuka akses pasaran baharu bagi eksport durian segar tempatan ke negara berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








