BERITA SEMASA

Kerajaan dijangka jimat RM135 juta dalam tiga bulan selepas pengurangan subsidi telur

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka meraih penjimatan sebanyak RM45 juta sebulan hasil pengurangan subsidi telur ayam yang mula dilaksanakan sejak 1 Mei lalu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, langkah itu membolehkan kerajaan menjimatkan sehingga RM135 juta dalam tempoh tiga bulan sebelum penamatan penuh subsidi dijadualkan minggu depan.

“Ketika ini, bekalan telur ayam kekal stabil dan dijual pada harga yang berpatutan. Anggaran pengeluaran telur bagi bulan Julai ialah sekitar 1.75 bilion biji sebulan manakala keperluan penggunaan domestik adalah 1.06 bilion biji.

“Ini menunjukkan terdapat lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji, sebahagiannya untuk tujuan eksport,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN–Pekan) berhubung impak pengurangan subsidi terhadap pasaran telur dan kos sara hidup rakyat.

Mohamad berkata, bagi memastikan bekalan dan harga kekal stabil, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan terus melaksanakan pemantauan berterusan di seluruh negara.

Katanya, penamatan subsidi dijangka tidak menjejaskan kestabilan bekalan kerana industri telur ayam kini menunjukkan perkembangan positif termasuk penurunan harga makanan ternakan.

“Penyasaran semula subsidi serta penamatan kawalan harga membolehkan perbelanjaan negara dioptimumkan dan dialihkan kepada program yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, kadar inflasi tahunan bagi telur ayam juga menunjukkan trend penurunan iaitu -5.3 peratus pada tahun 2025 meskipun penurunan tidak berlaku secara menyeluruh bagi semua gred telur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button