BERITA SEMASA

Peniaga panik nampak pegawai KPDN, kelam-kabut letak tanda harga

KUALA LUMPUR – Segelintir peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu dilihat panik serta kelam-kabut meletakkan tanda harga sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menjalankan pemeriksaan menerusi Ops Embun, awal pagi ini.

Tinjauan di lokasi mendapati kebanyakan premis perniagaan mempamerkan tanda harga seperti yang ditetapkan, namun masih terdapat peniaga yang gagal mematuhi peraturan berkaitan tanda harga dan penggunaan alat penimbang.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Sabri Seman berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 26 kompaun bernilai RM5,800 hasil pemeriksaan dalam operasi tersebut.
Menurutnya, seramai 220 peniaga diperiksa di Pasar Borong Kuala Lumpur manakala 280 lagi di Pasar Pudu.

“Kesalahan yang dikesan termasuk gagal mempamerkan tanda harga, tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang terkawal serta menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan,” memetik BH online.

Operasi bermula sekitar jam 2.30 pagi itu mendapati majoriti peniaga memberi kerjasama baik kepada pegawai bertugas, manakala sebahagian yang dikenakan kompaun mengakui mengetahui kesalahan yang dilakukan.

Malah, terdapat juga peniaga yang cuba menyorokkan alat penimbang yang tidak ditentusahkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Sabri berkata, kesalahan tersebut merupakan antara pelanggaran serius di bawah undang-undang yang berada di bawah bidang kuasa penguatkuasaan KPDN.

Tambahnya, operasi berkenaan dilaksanakan selari dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri, dengan kira-kira 2,000 premis perniagaan di ibu negara telah diperiksa sejak 19 Februari lalu.

“Kita mendapati terdapat peniaga yang secara sambil lewa dan sengaja tidak mempamerkan harga, malah ada kemungkinan bertujuan mengelirukan pengguna.

“Peniaga tidak boleh sama sekali gagal mempamerkan tanda harga pada bila-bila masa dan tidak dibenarkan menggunakan alat timbang serta sukat yang tidak ditentusahkan atau yang telah tamat tempoh sijil,” katanya lagi.

Menurutnya, pasukan i-Payment turut menyertai operasi tersebut bagi membolehkan peniaga menjelaskan kompaun di lokasi sebagai peringatan bahawa setiap kesalahan tidak dipandang ringan.

Beliau berkata, KPDN Kuala Lumpur akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan kepentingan pengguna terpelihara dan perniagaan dijalankan secara telus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button