PMX

PM ucap tahniah kepada Hospital Seberang Jaya tawar rawatan jantung angiogram, angioplasti koronari

KUALA LUMPUR – Hospital Seberang Jaya (HSJ) mencipta sejarah sebagai hospital daerah pertama di Semenanjung Malaysia yang menawarkan perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari, sekali gus memperluas akses penduduk kepada rawatan kepakaran jantung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan memulakan kedua-dua prosedur itu hari ini merupakan perkembangan membanggakan dalam usaha memperkukuh kemudahan serta perkhidmatan kesihatan awam negara.

Beliau berkata, peluasan perkhidmatan berkenaan amat diperlukan penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya, khususnya bagi mendapatkan rawatan jantung yang lebih mudah diakses.

Menurutnya, perkembangan itu juga dijangka memendekkan tempoh menunggu pesakit selain mengurangkan keperluan mereka mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Januari lalu, saya telah berkunjung ke Hospital Seberang Jaya untuk merasmikan bangunan baharu hospital ini.

“Perkembangan hari ini tentunya menggembirakan tatkala peningkatan fasiliti telah disusuli dengan peluasan rawatan kepakaran yang amat diperlukan penduduk Seberang Perai dan sekitarnya,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas kesihatan serta pihak pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan atas kejayaan memulakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, kepakaran dan khidmat diberikan petugas kesihatan bukan sahaja memberi harapan kepada pesakit, malah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan awam negara.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keupayaan hospital awam supaya lebih ramai rakyat mendapat rawatan berkualiti dengan lebih pantas demi memelihara nyawa serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button