Serangan siber berlaku setiap hari, ATM sasar tubuh cabang keempat
TELOK MAS – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang mewujudkan cabang keempat khusus bagi menangani ancaman dan peperangan siber, dengan pelaksanaannya dijangka dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada 2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keperluan mewujudkan cabang berkenaan semakin penting berikutan ancaman siber yang berlaku setiap hari dan memerlukan pemantauan serta tindakan pencegahan berterusan.
Beliau berkata, ATM sentiasa memantau ancaman berkenaan bagi memastikan sebarang serangan dapat ditangani dari sudut ketenteraan, selain meningkatkan keupayaan pertahanan siber sedia ada.
“Kita setiap hari ada serangan siber. Kita sentiasa memantau, mencegah dan memastikan ia dapat ditangani dari segi ketenteraan. Saya tidak bercakap dari segi hal lain-lain. Kita juga akan meningkatkan keupayaan itu,” katanya.
Baca juga : Bantuan empat negara perkukuh keupayaan pertahanan Malaysia – Khaled Nordin
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program penyerahan projek Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, peperangan masa kini tidak lagi terhad kepada operasi di darat, udara dan laut, sebaliknya turut melibatkan domain siber yang memerlukan angkatan khusus.
“Atas sebab itulah kita mencadangkan untuk mewujudkan cabang keempat Angkatan Tentera iaitu cabang siber yang lebih mantap dan lebih fokus.
“Sekarang kita ada Tentera Darat, Udara, Laut. Perang di darat, perang di udara, perang di laut, lepas ini akan ada perang melalui siber.
“Jadi mesti ada angkatan khusus untuk menangani ancaman dan peperangan melalui siber,” katanya.
Menurutnya, Tim Nukleus bagi merancang penubuhan cabang baharu itu sudah ditubuhkan baru-baru ini dan kini sedang meneliti pelbagai keperluan pelaksanaannya.
Katanya, perancangan berkenaan merangkumi aspek struktur organisasi, latihan anggota serta keperluan lain bagi memastikan cabang siber itu dapat diwujudkan secara menyeluruh.
“Kita dah tubuhkan nucleus group baru-baru ini. Dia sedang merancang dari segi organisasi, dari segi latihan untuk anggota, dari segi segala perkara keperluan.
“Dan kita insyaAllah ambil masa mungkin paling lambat 2030 untuk kita lancarkan cabang siber Angkatan Tentera,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, ATM ketika ini sudah mempunyai sebuah rejimen siber yang menjalankan tugas berkaitan pertahanan dalam domain berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kedudukan keupayaan itu daripada sebuah rejimen kepada cabang khusus dalam struktur ATM.
“Sekarang ini ada buat tetapi pertahanan siber ini dibuat melalui rejimen. Rejimen siber, kita ada satu. Tapi kita nak angkat jadi satu cabang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













