KEMENTERIAN PERTAHANAN

Diplomasi pertahanan Malaysia diperkasa, bina pakatan lebih kukuh di ASEAN

HANOI/PHNOM PENH – Komitmen Malaysia memperkukuh keamanan dan kestabilan ASEAN terus diperkasakan apabila negara ini memperluaskan kerjasama strategik pertahanan dengan Vietnam dan Kemboja menerusi siri lawatan rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Lawatan rasmi ke Vietnam pada 5 hingga 6 Ogos diikuti lawatan ke Kemboja semalam merupakan manifestasi komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dengan negara rakan ASEAN, selaras aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 serta Kertas Putih Pertahanan.

Mengulas mengenai penganjuran siri lawatan berkenaan, Mohamed Khaled menegaskan bahawa hubungan pertahanan dua hala perlu terus diperkukuhkan bagi membina daya tahan kolektif serantau.

“Perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), ancaman siber, aktiviti ‘grey zone’, serta ‘cognitive warfare’ menuntut kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara-negara ASEAN.

“Segala usaha ini perlu terus berpaksikan prinsip ‘ASEAN Centrality’ dan autonomi strategik ASEAN demi memastikan rantau ini terus aman, stabil dan makmur,” kata beliau.

Baca juga : Malaysia, Vietnam sepakat perluas kerjasama pertahanan hadapi cabaran keselamatan baharu

Di Hanoi, Mohamed Khaled mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi yang dilaksanakan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama
Pertahanan antara Malaysia dan Vietnam pada 4 November 2023.

Beliau memulakan siri lawatan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung pada 5 Ogos lalu.

Perbincangan memberi tumpuan kepada hala tuju kerjasama teknikal termasuk penyelarasan kursus dan latihan pegawai tentera serta pengukuhan keselamatan maritim, selain penerokaan bidang ‘Maritime Domain Awareness’ dan operasi menyelamat kapal selam.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh platform ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus bagi memastikan kerangka pelbagai hala itu kekal relevan selaras dengan prinsip Kepusatan ASEAN.

Mohamed Khaled turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Văn Giang bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan global dan serantau.

Kedua-dua negara bersetuju meneroka ruang baharu dalam memperkukuh pembinaan kapasiti pegawai tentera menerusi pertukaran latihan yang lebih aktif dan konsisten, selain cadangan memperkasakan mekanisme kerjasama menerusi pembentukan High-Level Committee.

Vietnam turut menyokong penegasan Malaysia mengenai kepentingan kerjasama maritim sedia ada bagi memastikan Asia Tenggara terus aman, saling menghormati serta mematuhi undang-undang antarabangsa. termasuk sokongan terhadap pemuktamadan Kod Etika (Code of Conduct – COC) di Laut China Selatan.

pertahanan
Khaled Nordin (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam usaha mempertingkat kerjasama strategik bidang pertahanan, latihan ketenteraan serta pembangunan industri pertahanan antara Malaysia dan Kemboja.

Sementara itu di Phnom Penh semalam, Mohamed Khaled meneruskan misi diplomasi pertahanan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha.

Perbincangan memberi tumpuan kepada status rundingan draf Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan antara kedua-dua negara yang dijangka dimeterai sempena Mesyuarat ADMM di Filipina kelak. MoU berkenaan bakal membuka ruang kerjasama baharu termasuk memperkasakan penglibatan pegawai tentera Kemboja dalam Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) yang dilaksanakan secara konsisten
setiap tahun.

Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi menyatakan kesediaan Malaysia mempercepat penyelarasan strategik dalam bidang latihan ketenteraan, termasuk latihan peperangan hutan, serta pembangunan industri pertahanan dan teknologi baharu seperti dron dan AI.

Kedua-dua negara turut mencapai kata sepakat untuk terus mengutamakan ADMM dan ADMM-Plus sebagai wadah utama mengekalkan keamanan di Asia Tenggara berteraskan semangat Kepusatan ASEAN.

Kerjasama itu diperkukuhkan lagi melalui penekanan terhadap mekanisme ASEAN Observer Team (AOT) sebagai bukti kesiapsiagaan negara anggota untuk saling membantu dalam mendepani cabaran keselamatan semasa serta menyokong penyelesaian aman di sempadan Kemboja-Thailand.

MINDEF berkata, kejayaan misi diplomasi itu membuktikan kedaulatan negara dan keamanan serantau dapat diperkukuhkan menerusi hubungan antarabangsa yang kukuh serta strategik, selari dengan hala tuju PSPN 2026-2030.

Turut menganggotai delegasi Malaysia ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button