Chegu bard gesa Panglima Tentera Darat digantung tugas
PUTRAJAYA – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu bard, hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi menyerahkan bukti berkaitan dakwaan transaksi bank mencurigakan yang didakwa melibatkan Panglima Tentera Darat.
Menurutnya, bukti yang dikemukakan merangkumi transaksi berulang setiap bulan dalam akaun bank peribadi pegawai tertinggi tentera itu dengan nilai antara RM25,000 hingga RM500,000.
Katanya, pendedahan yang dibuat setakat ini merupakan fasa pertama siasatan yang memfokuskan kepada akaun peribadi, sebelum disusuli maklumat melibatkan akaun pasangan, ahli keluarga serta individu yang didakwa bertindak sebagai proksi.
“Saya menggesa Kementerian Pertahanan supaya menggantung tugas Panglima Tentera Darat berkenaan buat sementara waktu demi menjaga integriti jawatan tersebut.
“Sekiranya beliau masih memegang jawatan, siasatan dikhuatiri akan dilengah-lengahkan sehingga individu terbabit bersara,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Chegu bard turut memfailkan satu lagi laporan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan yang membabitkan syarikat SPENCO dan Cekap Urus.
Dia mendakwa berlaku cubaan memeras sumbangan politik berjumlah RM100 juta daripada syarikat pembida oleh individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang bekas Perdana Menteri sekitar tahun 2020.
“Syarikat Cekap Urus yang berjaya dalam tender terbuka didakwa diminta menyumbang RM100 juta, namun hanya memberikan RM10 juta.
“Akibatnya, projek berkenaan dibatalkan secara tidak sah walaupun syarikat itu mengemukakan tawaran yang RM700 juta lebih rendah berbanding pesaing,” katanya lagi.
Mengulas pendedahan yang dibuat ketika ini, dia mendakwa tindakannya bertujuan menghalang strategi pihak tertentu yang kononnya menyimpan kes-kes rasuah melibatkan pemimpin pembangkang sebagai alat tekanan politik.
“Saya percaya SPRM sudah lama mengetahui mengenai kes ini. Jangan jadikan ia bahan ugutan untuk melemahkan pembangkang demi kepentingan politik,” katanya lagi.
Dia turut menggesa seorang pemimpin parti bergelar Tan Sri supaya mengarahkan menantunya pulang ke Malaysia bagi menghadapi proses undang-undang dan tidak terus berada di luar negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








