Isu UKM: Tindakan susulan diserah kepada universiti – Zambry
PUTRAJAYA – Sebarang tindakan susulan berhubung siasatan yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diserahkan kepada pihak universiti berkenaan untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu termasuk menilai sama ada teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bersifat serius atau sekadar melibatkan aspek tadbir urus.
Menurutnya, setiap laporan audit yang dibentangkan akan diteliti terlebih dahulu di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum arahan diberikan kepada institusi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Sekiranya teguran tersebut tidak serius dan hanya melibatkan soal tadbir urus, maka langkah penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan syor yang dikemukakan dalam laporan audit.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat kesalahan serius berkaitan tadbir urus, tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Iftar bersama warga KPT di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung penemuan dalam LKAN yang membabitkan UKM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan tersebut melibatkan program pengambilan pelajar serta dakwaan tuntutan palsu.
Menurut beliau, setakat ini pihak SPRM telah memperoleh kerjasama daripada UKM dan belum memanggil mana-mana saksi bagi membantu siasatan.
Zambry turut berkata, sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan undang-undang, laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM akan dibuat berdasarkan penemuan dalam laporan audit berkenaan.
“KPT telah menetapkan peraturan serta garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak berkaitan dan tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan tersebut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








