Malaysia-Jepun perkukuh kerjasama pertahanan, teroka perolehan aset G2G
TOKYO – Malaysia dan Jepun bersetuju meneroka kaedah perolehan aset pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G), selain memperluas kerjasama maritim dan pemindahan teknologi bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Perkara itu antara hasil lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Jepun selama empat hari bermula 18 Oktober hingga semalam.
Dalam kenyataan selepas mengakhiri lawatan itu, Mohamed Khaled berkata, cadangan mengadakan mesyuarat tahunan di peringkat Menteri Pertahanan secara bergilir antara kedua-dua negara dibincangkan ketika pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinjiro Koizumi, pada 19 Oktober lalu.
Mesyuarat tahunan itu bertujuan membolehkan sebarang ketetapan teknikal di peringkat pegawai dimuktamadkan terus oleh menteri, sekaligus memastikan pelaksanaannya berjalan lebih pantas dan lancar.
Kedua-dua negara turut bersetuju memperbanyak latihan ketenteraan bilateral, termasuk menerapkan elemen siber, serta meneroka pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama maritim.
Mohamed Khaled berkata, perubahan dasar Jepun yang kini membolehkan kerjasama pertahanan lebih luas, termasuk pengeksportan aset ketenteraan, membuka peluang kepada Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran industri pertahanan negara tersebut.
“Berdasarkan pengalaman kerjasama selama ini, Malaysia melihat Jepun sebagai rakan strategik yang dipercayai dan diyakini, termasuklah dalam usaha memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara,” katanya.
Beliau menambah, kaedah perolehan G2G ini penting bagi memastikan setiap urusan perolehan bukan sekadar pembelian langsung aset, sebaliknya menjadi pemangkin kepada ekosistem industri pertahanan tanah air.
“Jepun telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi dan pembangunan industri pertahanan Malaysia. Ini selaras dengan hasrat negara membangunkan keupayaan pertahanan sendiri (sovereign capability), iaitu keupayaan untuk menghasilkan aset pertahanan, sama ada secara keseluruhan mahupun komponen-komponennya,” katanya.
Bagi meneroka potensi ekosistem tersebut, beliau menerima taklimat daripada Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA), iaitu agensi di bawah Kementerian Pertahanan Jepun yang bertanggungjawab terhadap perolehan, teknologi dan logistik pertahanan.
Taklimat berkenaan memberi gambaran mengenai pendekatan Jepun dalam pembangunan industri pertahanan, selain membuka ruang perbincangan mengenai pemindahan teknologi, pembangunan komponen tempatan dan rantaian bekalan global.

Delegasi Malaysia seterusnya melawat fasiliti Toshiba Komukai Complex di Kawasaki, Kanagawa, bagi meninjau kepakaran syarikat itu dalam teknologi radar, sistem pertahanan udara, sistem arahan, kawalan dan risikan (C4I) serta penyelesaian antidron.
Dalam agenda memperkukuh keupayaan pertahanan maritim pula, Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Jepun, Toshimitsu Motegi pada 20 Oktober lalu, selain menandatangani dokumen bantuan di bawah program Official Security Assistance (OSA) 2026.
Bantuan berkenaan membabitkan satu sistem Counter-Unmanned Aerial System (C-UAS) bernilai 1.65 bilion yen, bersamaan kira-kira RM40 juta, bagi meningkatkan keupayaan Malaysia menangani ancaman udara tanpa pemandu.
Malaysia antara negara penerima terawal program OSA yang diperkenalkan Jepun pada 2023.

Menerusi OSA 2023 bernilai 400 juta yen, bersamaan kira-kira RM12.63 juta, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima 14 unit pesawat udara tanpa pemandu (UAV) jenis Vertical Take-Off and Landing (VTOL), tujuh bot penyelamat serta dua lori pembersihan jalan.
Bagi OSA 2025 pula, Jepun memperuntukkan 3.1 bilion yen, bersamaan kira-kira RM80 juta, untuk sebuah Diving Support Vessel (DSV) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka diserahkan pada 2029, selain peralatan bagi menyokong Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) di sempadan Thailand-Kemboja.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia menghargai komitmen Jepun menerusi program OSA yang membantu meningkatkan keupayaan pertahanan negara serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
“Malaysia turut mencadangkan supaya OSA diteruskan dan dikembangkan menjadi pakej pembangunan keupayaan maritim bersepadu jangka panjang, khususnya bagi memperkukuh keupayaan pengawasan dan kesedaran domain maritim (Maritime Domain Awareness),” katanya.
Menyentuh landskap keselamatan serantau, beliau menegaskan jalinan pertahanan dengan Tokyo kini menjadi keutamaan susulan pelbagai cabaran di perairan strategik serantau.
“Dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks, termasuk di rantau ini, hubungan dengan rakan strategik seperti Jepun menjadi semakin penting dalam usaha Malaysia memperkukuh pertahanan, menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Timbalan Menteri Parlimen bagi Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Kazuhiro Fujii, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Mohamed Khaled turut menegaskan kepentingan perpaduan ASEAN dalam mendepani isu keselamatan serantau, termasuk perkembangan di Laut China Selatan, bagi memastikan kestabilan rantau ini terus terpelihara.
Beliau turut berkata, kerajaan Malaysia berharap segala persetujuan dan hasil perbincangan sepanjang lawatan itu dapat dilaksanakan serta diterjemahkan kepada manfaat nyata, termasuk dalam meningkatkan keupayaan pertahanan negara.
Lawatan kerja ini secara langsung memantapkan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun yang terjalin sejak 1957 menerusi CSP, menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan dua hala kedua-dua negara pada 2027.
Turut menyertai lawatan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Ahmad Rozian Abd Ghani; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani bin Daud; dan Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








