BERITA SEMASA

Pasport Malaysia Antarabangsa diseragamkan kepada tempoh sah laku maksimum 10 tahun – imigresen

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kepada 10 tahun bagi menyeragamkan tempoh sah laku dokumen perjalanan itu serta mengelakkan kekeliruan dalam urusan perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penetapan itu dibuat selepas JIM merujuk perkara berkenaan kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) yang memaklumkan bahawa pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun tidak menjadi halangan.

“Kekeliruan timbul apabila beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi masalah ketika mendaftar masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.

“Bagi menangani isu berkenaan, JIM menetapkan tempoh sah laku maksimum PMA selama 10 tahun. Langkah itu bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku pasport serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, JIM akan melaksanakan beberapa langkah berkuat kuasa serta-merta.

Antaranya katanya, tempoh sah laku PMA yang melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama pihak syarikat penerbangan dan ICAO.

“Bagi pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, mereka akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun,” katanya.

Sementara itu katanya, JIM turut memberi keutamaan kepada pemegang PMA yang terlibat dalam urusan penggantian pasport.

Selain itu katanya, jabatan berkenaan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.

Katanya, JIM menegaskan komitmennya untuk terus menambah baik pelaksanaan PMA bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button