BERITA SEMASA

Hannah Yeoh kenang keanggunan, kebaikan hati Allahyarhamah Tun Siti Hasmah

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengenang Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai sosok yang memiliki keanggunan, keyakinan dan kekuatan tanpa perlu diperagakan atau dilaungkan.

Hannah berkata, sebelum mengenali Allahyarhamah secara peribadi, ingatannya terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu ialah sosok yang sering bersama pasukan badminton negara dan menyayangi mereka dengan tulus.

Katanya, bertahun-tahun kemudian, anggota pasukan Piala Thomas 1992 masih bercerita mengenai kasih sayang mereka terhadap Allahyarhamah.

“Pilihan raya 2018 yang mengubah landskap negara membuka ruang untuk saya mengenali beliau dengan lebih dekat. Bukan sekadar dari jauh tetapi sebagai seorang insan.

“Beliau adalah keanggunan yang tidak perlu diperagakan. Keyakinan yang tidak perlu dilaungkan. Kekuatan yang tidak perlu ditunjukkan dengan suara yang keras,” katanya menerusi kenyataan.

Hannah berkata, tutur kata Allahyarhamah sentiasa lembut, namun apabila berbicara, orang akan mendengar, menggambarkan kewibawaan yang lahir bukan daripada kelantangan tetapi ketenangan.

Beliau turut mengingati Allahyarhamah sebagai individu yang sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir ketika menghadiri ceramah, majlis atau mesyuarat.

“Hadir bukan sekadar menemani tetapi menyokong. Setia berjalan bersama sehingga kedua-duanya mencecah usia 100 tahun. Ikatan seperti itu semakin sukar kita temui,” katanya.

Menurut Hannah, perkara yang paling diingatinya mengenai Allahyarhamah ialah kebaikan hati yang tidak cepat menghukum, sebaliknya bertanya mengenai diri seseorang dan benar-benar mendengar jawapannya.

Katanya, dalam perbualan, Allahyarhamah sering menghulurkan tangan untuk menenangkan, meyakinkan dan membuatkan orang berasa selesa walaupun berada di hadapan sosok yang begitu besar kewibawaannya.

“Semoga Tuhan mengurniakan kekuatan kepada Tun Dr Mahathir serta anak-anak mereka untuk melalui kehilangan yang begitu besar ini.

“Terima kasih kerana berkongsi seorang Tun Dr Siti Hasmah dengan Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button