Program Rakan Muda Turun Kampus 2025 bermula di UTAR
KAJANG – Program Rakan Muda Turun Kampus bagi tahun 2025 telah dilancarkan dengan penuh semangat di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampus Bandar Sungai Long, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kepentingan program itu sebagai medium komunikasi langsung antara pihak kementerian dengan golongan belia.

“Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan pandangan mereka, tetapi juga memberi maklumat terkini mengenai dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam membangunkan sektor belia dan sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hannah turut berkata, program yang dijangka melibatkan sekitar 5,000 pelajar dalam 10 sesi sepanjang tahun ini bertujuan untuk memberi peluang kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkongsi pandangan mereka mengenai pembangunan belia dan sukan.

“Program itu disemarakkan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bertujuan untuk melibatkan pelajar secara aktif dalam perbincangan dan memberi mereka platform untuk menyuarakan aspirasi serta idea mereka.
“Aktiviti tersebut diharap dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan belia terhadap isu-isu yang melibatkan pembangunan belia dan sukan di negara ini,” katanya lagi.
Program Rakan Muda Turun Kampus itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkenalkan Gaya Hidup Rakan Demokrasi di kalangan pelajar IPT, serta memperkukuh perpaduan dan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi.

Selain itu, Hannah Yeoh turut meluangkan masa untuk berinteraksi dengan pelajar UTAR dan meninjau fasiliti-fasiliti yang terdapat di kampus berkenaan.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Presiden UTAR, Ir. Prof Datuk Dr. Ewe Hong Tat, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Azura Abidin.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu orang ramai boleh menghubungi JBSN melalui talian 03-8871 3324 atau email di jbsn@kbs.gov.my
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







