BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Jabatan Wilayah Persekutuan buka akses lebih luas kepada SPRM perangi rasuah – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan membuka akses yang lebih luas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah proaktif bagi memastikan sistem pentadbiran yang lebih telus dan integriti

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah tersebut mencerminkan pendirian tegas kerajaan bahawa rasuah dan salah guna kuasa tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, JWP kini memperkukuh kerjasama strategik bersama SPRM bagi meningkatkan keupayaan pengesanan, pencegahan, penguatkuasaan serta tindakan terhadap sebarang salah laku integriti.

“Usaha memerangi rasuah ini bukan sekadar dasar, sebaliknya dilaksanakan melalui tindakan berstruktur, sistemik dan operasi yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara JWP dan SPRM di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, sebagai langkah awal, JWP dan SPRM akan menandatangani Nota Kerjasama bagi mewujudkan kerjasama yang sistematik dan berkesan dalam memperkukuh tadbir urus, integriti serta agenda antirasuah dalam pentadbiran JWP termasuk agensi di bawah seliaannya.

“Agensi terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP),” katanya.

Baca juga : 20 langkah disyor SPRM kepada DBKL perkukuh tatakelola

Hannah Yeoh berkata, skop kerjasama itu merangkumi perkongsian maklumat, kepakaran dalam mengesan dan mengesahkan aduan atau salah laku, selain penyebaran maklumat secara konsisten berkaitan kesalahan rasuah.

Selain itu, Hannah berkata, JWP dan agensinya turut melaksanakan beberapa langkah bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan termasuk pelaksanaan pusingan kerja yang lebih kerap.

Hannah menjelaskan, ia khusus melibatkan pegawai lapangan dan jawatan sensitif, penambahbaikan pengurusan perolehan melalui sistem dalam talian sepenuhnya serta pelaksanaan kamera badan kepada pegawai penguat kuasa secara berperingkat bermula suku keempat 2026.

Beliau berkata, penilaian semula tahap risiko di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan turut dilaksanakan bagi memperkukuh fungsi Unit Integriti.

“Langkah membuka pintu lebih awal kepada SPRM membuktikan komitmen dan keberanian JWP dalam memastikan ketelusan serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi awam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button