SPRM buka kertas siasatan isu perjanjian bernilai RM1.1 bilion
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 billion.
Menurut sumber, siasatan yang dimulakan itu mempunyai kaitan dengan aduan yang dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian yang dikatakan dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kepada Kerajaan.
Kata sumber itu lagi, selain aduan dan dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM juga telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini pada 13 Februari 2026 yang lalu dari Kementerian Ekonomi.
Difahamkan, kes tersebut mempunyai kaitan dengan isu ketirisan dana kerajaan dengan melibatkan peruntukan yang besar iaitu RM1.1 Billion.
“Berdasarkan maklumat awal, cadangan ini dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indusri (MITI), namun perjanjian ini dimeterai secara tergesa-gesa.
“Perkara ini akan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama terlibat,” kata sumber tersebut, hari ini.
Selain itu, turut difahamkan, beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan yang tinggi di dalam syarikat yang dinamakan selepas berhenti dari Kementerian terbabit.
“Ini juga persoalan conflict of interest dan wajar diberikan perhatian.
“Tindakan lanjut adalah memanggil beberapa saksi termasuk Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) bagi mendengar penjelasan berhubung perlaksanaan perjanjian ini,” tambah sumber.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





