BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tahan tiga pegawai bank disyaki terlibat pengubahan wang haram

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai kanan dari dua institusi perbankan di ibu negara kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan permohonan pinjaman berjumlah lebih RM21 juta.

Ketiga-tiga suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu merupakan pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan di bank berkenaan.

Perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 18 Mei dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab. Shukor di Mahkamah Sesyen Putrajaya selepas permohonan dibuat oleh SPRM pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek yang berjawatan ketua jabatan dipercayai meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM170,000 daripada tiga syarikat yang mengemukakan lima permohonan pinjaman perniagaan sekitar tahun 2024.

“Rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman berkenaan yang keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta,” katanya.

Tambahnya, semua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir untuk memberikan keterangan berkaitan kes berkenaan.

SPRM juga bertindak membekukan empat akaun bank milik individu yang disyaki membabitkan jumlah kira-kira RM268,000 selain merampas tiga peranti telekomunikasi serta sebuah komputer riba bagi membantu siasatan.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Norhaizam Muhammad, mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button