JENAYAH & MAHKAMAH

Pendakwah terkenal direman sekali lagi, disyaki terbabit seleweng dana RM1.3 juta

ALOR SETAR – Seorang pendakwah bebas terkenal sekali lagi direman bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan di sebuah institusi pusat pendidikan serta dakwah negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Memetik laporan Harian Metro, mereka direman selepas disyaki bersubahat dalam penyelewengan dana dianggarkan RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek seorang lelaki dan seorang wanita berumur sekitar 30-an ditahan semula kira-kira jam 6 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berasingan.

Katanya, kedua-dua suspek sebelum itu direman selama sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani, sebelum dibebaskan pada jam 5 petang hari yang sama.

“Kedua-dua suspek, di mana pendakwah bebas tersebut yang juga Pengarah Urusan institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.

“Pada masa yang sama, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.

Semalam, kedua-dua individu terbabit direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembayaran berjumlah kira-kira RM600,000 bagi tujuan kutipan dana institusi pendidikan dan dakwah berkenaan tanpa persetujuan rakan kongsi lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button