Peniaga dipaksa bayar wang perlindungan perlu tampil buat laporan – SPRM
KUALA SELANGOR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mana-mana individu atau peniaga yang mendakwa dipaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu di Pasar Borong Selayang di sini supaya tampil segera membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan peniaga memberi wang kepada agensi penguat kuasa bukan isu baharu, namun tuduhan secara terbuka melalui media atau media sosial tanpa maklumat sahih tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan.
“Perkara ini timbul dalam media tetapi isu wang perlindungan sudah lama berlegar. Saya berharap mereka yang membuat dakwaan dapat tampil kepada SPRM.
“Kita ada undang-undang dan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Perkara ini sudah berkali-kali kita jelaskan,” katanya pada sidang akhbar selepas program SPRM-UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam, semalam.
Mengulas lanjut, Azam menegaskan bahawa dakwaan umum tanpa bukti kukuh adalah tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang terpalit tuduhan.
“Kalau mereka hanya bercakap kepada media atau menularkan di media sosial, isu ini tidak akan selesai. Menuduh agensi penguat kuasa secara umum adalah tidak adil,” ujarnya.
Beliau menambah, SPRM perlu berlaku adil kepada semua pihak, sama ada mereka yang dituduh mahupun pengadu yang tampil mengemukakan maklumat.
“Isu sebenar yang kita lihat, ada peniaga yang berniaga tanpa mematuhi proses dan undang-undang, malah ada yang beroperasi secara haram dengan pelbagai kesalahan.
“SPRM tidak akan membuka kertas siasatan tanpa maklumat yang benar dan tepat. Kami tidak akan memulakan siasatan jika tiada asas kukuh. Kita perlu berlaku adil,” katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang dipaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







