Isu dakwaan pegangan saham Azam Baki perlu dibahas di Parlimen – Guan Eng
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digantung tugas bagi memberi laluan kepada siasatan bebas berhubung kontroversi pegangan saham.
Beliau berkata, pihaknya kekal berpegang kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bertarikh 12 Januari 2022 yang menuntut Azam dan beberapa individu lain digantung berhubung skandal pegangan saham itu bagi memberi laluan kepada siasatan bebas.
Menurut Guan Eng, Azam Baki pada masa itu dikaitkan dengan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM772,000.
“Pegangan saham beliau menurun kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016 dengan nilai sekitar RM340,000. Beliau juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga : Ahli Parlimen PKR desak Azam Baki digantung, segerakan siasatan bebas
Mengulas perkembangan terkini, Guan Eng berkata, rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendedahkan bahawa pada satu ketika tahun lalu, Tan Sri Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Menurut laporan media, saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga kira-kira RM1.5 juta manakala saham Awanbiru Technology dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta.
Tegas Guan Eng, isu berkenaan wajar dibahaskan sebagai satu usul khusus di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac ini, selaras cadangan Majlis Presiden PH pada 2022.
“Langkah ini bagi memastikan akauntabiliti pegawai kanan agensi anti-rasuah negara terus terpelihara dan kepercayaan rakyat terhadap SPRM tidak terjejas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












