JENAYAH & MAHKAMAH

Isu salah guna kuasa di Pulau Pinang, SPRM akan panggil beberapa individu untuk dirakam keterangan

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi individu bagi dirakam keterangan dalam siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa yang membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan.

“Ya, kami akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut pada peringkat ini kerana SPRM masih menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, SPRM sedang menyiasat kemungkinan seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang menyalahguna kuasa berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hujung tahun lalu.

Siasatan bertujuan mengesahkan perkara itu serta menentukan sama ada wujud unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus seperti dakwaan.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP sebelum ini berkata pihaknya memberi kerjasama penuh terhadap siasatan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button