Dua kakitangan bank didakwa terima rasuah lebih RM100,000
KUANTAN – Dua kakitangan bank berdepan pertuduhan menerima rasuah melebihi RM109,832 bagi membantu pelanggan memproses permohonan pinjaman peribadi yang gagal memenuhi kelayakan di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.
Tertuduh, Irfan Syafiq Hafizi Mohd Riduan, 30, dan Nurul Hidayatul Asyikin Zolkeple, 34, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Szalina Safie, memetik laporan Kosmo! Online.
Irfan Syafiq, pegawai pemasaran di sebuah cawangan bank di Damansara, Kuala Lumpur menghadapi 14 pertuduhan dengan nilai rasuah berjumlah RM99,030.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa menerima wang antara RM1,843 hingga RM22,400 melalui pindahan dalam talian daripada empat akaun berbeza ke akaunnya sebagai upah untuk memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan secara serentak dengan permohonan di institusi kewangan lain.
Perbuatan itu berlaku antara 6 Jun 2023 hingga 6 Disember 2024 di sebuah cawangan bank di Jalan Bukit Ubi, Kuantan menyebabkan pelanggan berkenaan memiliki beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.
Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Chua Yong Yi.
Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport antarabangsa, melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Disember 2025.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Nurul Hidayatul Asyikin, Eksekutif Pembiayaan Pengguna di cawangan Bandar Baru Bangi menghadapi empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,802 antara 6 Jun hingga 9 September tahun lalu.
Wang diterima antara RM760 hingga RM4,207 sebagai upah memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan yang gagal memenuhi kelayakan secara serentak dengan permohonan lain di institusi kewangan lain.
Tertuduh diwakili oleh peguam, M. Maran dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Kesnya juga dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dan tarikh sebutan semula pada 12 Disember 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








