Tiga pegawai PBT Terengganu disyaki terima rasuah RM25,000 ditahan SPRM
KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM25,000 sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.
Perintah reman selama enam hari terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2015 hingga 2019.”
“Ketiga-tiga suspek dipercayai menerima wang rasuah dengan jumlah berbeza yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM25,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada syarikat tersebut,” katanya.
Tambah sumber, jumlah tersebut merangkumi sebanyak 14 projek yang terlibat.
Sumber memberitahu, tangkapan ini adalah susulan penangkapan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan pada Januari lalu yang melibatkan rasuah bernilai kira-kira RM900,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








