Kontrak C4i: SPRM tahan polis, pengarah syarikat disyaki buat tuntutan palsu RM15 juta
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk dua pegawai polis dan seorang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.
Tuntutan dipercayai melibatkan penerimaan kontrak penyelenggaraan sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan sekitar pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 April ini dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sumber SPRM berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dua pegawai kanan polis serta dua lagi individu dari syarikat yang terbabit dalam projek tersebut.
“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai bersubahat membuat tuntutan palsu antara tahun 2022 hingga 2025 membabitkan komponen khidmat sokongan sistem C4i yang tidak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam kontrak.
“Nilai keseluruhan tuntutan palsu dianggarkan kira-kira RM15 juta, manakala nilai keseluruhan projek berkenaan pula mencecah RM70 juta,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Difahamkan, sistem C4i merupakan aset penting kepada PDRM dan diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Susulan penahanan itu, SPRM turut menjalankan penggeledahan di 15 lokasi termasuk pejabat KDN dan beberapa premis syarikat di sekitar Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Empat kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.3 juta disita selain 51 akaun bank milik individu dan syarikat dibekukan.
“Nilai keseluruhan akaun yang dibekukan mencecah RM3.5 juta.

“Turut dirampas, wang tunai lebih RM9,000 serta mata wang asing antaranya USD388; 2,340 Riyal; 1,789 Qatari Riyal; 15,055 Dirham dan 21,219 Tenge. SPRM juga menyita sembilan unit telefon bimbit,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu dan turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








