JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM terima 4 laporan pemberian wang berkaitan PRN Negeri Sembilan

PUTRAJAYA  – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima dan membuka kertas siasatan berhubung empat laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan setakat semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, laporan berkenaan membabitkan dakwaan pemberian wang tunai dan pihaknya sedang meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah atau kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.

Menurutnya, dua daripada empat laporan itu membabitkan calon, manakala dua lagi berkaitan pengundi awal.

“Pihak kami telah mengarahkan penyiasatan dibuka.

“Pihak kami akan menyiasat untuk melihat dan mengkaji sama ada terdapat unsur rasuah dan keduanya, adakah ia boleh menjurus kepada kesalahan pilihan raya,” katanya pada sidang media hari ini.

Abd Halim berkata, semua laporan berkenaan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah wang tunai yang didakwa diberikan termasuk identiti calon atau parti politik yang dikaitkan dengan laporan berkenaan kerana siasatan masih berlangsung.

“Tak boleh jawab. Kalau begitu, baik saya terus berikan nama calon,” katanya.

Menurutnya, pendedahan maklumat berkenaan pada peringkat ini dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan SPRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button