
Ketepikan kemarahan, kebencian dan dendam demi UMNO
KUALA LUMPUR – Kepimpinan UMNO perlu berlapang dada dengan melupakan segala perselisihan lampau demi matlamat yang lebih besar iaitu meneruskan kelangsungan parti Melayu terbesar itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan supaya semua pimpinan dan ahli parti menoktahkan persengketaan supaya natijahnya tidak memusnahkan parti itu yang akhirnya merugikan nasib bangsa dan agama.
“Saya menyeru kepada semua perwakilan supaya mengenepikan segala amarah dan dendam dan memperbaharui setia kawan demi UMNO.
“Kerana akhirnya, di mana ada manfaatnya, semua kemarahan, kebencian dan perbezaan tersebut untuk bangsa dan parti? Jangan musnahkan UMNO dengan amarah dan dendam kesumat kita.
“Jangan hanya kerana cita-cita peribadi, kita terkandas,’’ katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2023, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC), malam ini.
Mohamad juga mahu semua ahli supaya tidak terus menelanjangkan parti itu selepas berdepan hukuman kekalahan yang begitu dahsyat dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan. Perbuatan ini tidak ubah seperti menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri,’’ katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa nasib dan masa depan UMNO kini terletak di tangan ahli kerana masih mempunyai harapan untuk kembali bangkit menjadi parti yang dominan apabila menjadi pelengkap kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Disebalik kekalahan kita, UMNO mempunyai kesempatan yang unik, untuk memainkan peranan kritikal dalam penyelesaian kecelaruan politik pasca-PRU.
“Justeru menjayakan Kerajaan ini sangat penting kepada UMNO, kerana kita mesti melakukan perkara yang betul untuk tanahair ini,’’ katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








