MKT UMNO tidak bincang hal Hishammuddin – Ahmad Zahid
BANGI – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam semalam tidak membincangkan isu penggantungan keahlian yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perkara itu tiada dalam agenda dan tidak dibincangkan kerana ia tidak penting.
“Tidak ada bincang (tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Hishammuddin), tidak begitu penting soal itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig bersama Timbalan Perdana Menteri pada Selasa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dipetik sebagai berkata, MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Kata Asyraf Wajdi, keputusan itu memberi ruang kepada ahli yang dikenakan tindakan untuk mengemukakan rayuan kepada MKT.
Susulan kenyataan itu, Hishammuddin dalam satu hantaran di akaun Facebooknya menegaskan, beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian parti.
Beliau berkata, keputusan sedemikian dibuat kerana beliau yakin tidak akan diadili sebaiknya selain tidak mahu menggadaikan prinsip dipegang selama ini.
Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hishammuddin itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, isu berkenaan akan dibawa ke MKT untuk dibincangkan.
“Saya belum tonton video (hantaran Hishammuddin) itu walaupun telah dimaklumkan.
“Sudah tiba masanya saya akan bawa ke MKT dan biar MKT yang putuskan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








