BERITA SEMASA

Bekas pegawai khas menteri ditahan SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai khas menteri pada 2019 ditahan SPRM yang disyaki meminta rasuah bagi kelulusan permohonan warga negara berjumlah RM25,000.

Suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan, semalam.

Suspek disyaki meminta wang sebagai dorongan untuk pemohon seorang lelaki warga tempatan
mendapatkan kelulusan taraf kewarganegaraan anak kandungnya.

“Jun lalu, suspek menghubungi individu terbabit yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

“Suspek memaklumkan surat kelulusan permohonan taraf warganegara sudah ada padanya dan meminta individu itu membayar RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan itu,” kata sumber kepada BH, hari ini.

Difahamkan, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta SPRM menyiasat lanjut kegiatan rasuah dalam kalangan segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button