JENAYAH & MAHKAMAH

Peguam nafi Abdul Azeez buat pilihan sendiri pakai baju lokap, digari

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak pernah memilih untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, semalam dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu dan bergari.

Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu sebaliknya tidak diberi peluang menukar pakaian sebelum dibawa menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Pihak kami terkejut dengan kenyataan yang dikaitkan dengan SPRM bahawa anak guam kami memilih dan berkeras memakai baju lokap dan bergari.

“Oleh itu, kehadiran anak guam kami dalam pakaian lokap ungu dan bergari semasa prosiding pertuduhan SPRM adalah mengikut keadaan dan pakaian yang sama sewaktu beliau dihadapkan untuk prosiding reman polis terdahulu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kata Amer, sebarang kenyataan bahawa Abdul Azeez memilih dalam keadaan sedemikian adalah tidak tepat dan memberi gambaran mengelirukan.

“Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan keadaan anak guam kami di mahkamah hari ini, dan membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan terbabit.

“Anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana orang yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau mengekalkan sebarang naratif palsu atau mengelirukan mengenai keadaan kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, Abdul Azeez memilih dan berkeras untuk memakai baju lokap PDRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

SPRM berkata, pegawainya dan pegawai polis yang mengiringi Abdul Azeez sudah menasihati beliau untuk menukar pakaian biasa ketika menghadiri mahkamah.

Bagaimanapun, ahli politik berkenaan berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap selain gari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button