4,200 pelari gegar Baling, TMB100 2026 sasar impak ekonomi RM7.8 juta
ALOR SETAR – Acara larian denai bertaraf antarabangsa, The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM7.8 juta kepada daerah Baling menerusi penyertaan 4,200 pelari serta kehadiran kira-kira 11,400 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Memasuki edisi keempat penganjurannya, TMB100 2026 bukan sahaja menguji ketahanan peserta menerusi laluan mencabar, malah terus memperkukuhkan kedudukan Baling sebagai destinasi sukan pelancongan utama negara.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd., Mohd. Bukhari Ismail berkata, acara itu dijadual berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai depan dengan kos penganjuran dianggarkan hampir RM2 juta.
Menurutnya, penganjuran berkenaan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pemandu e-hailing serta pemain industri pelancongan di daerah itu.
“Dengan laluan yang mencabar, panorama gunung batu kapur ikonik dan keindahan hutan tropika, TMB100 bukan sekadar perlumbaan, sebaliknya menjadi platform mempromosikan Baling sebagai destinasi sukan pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di daerah Baling serta negeri Kedah secara keseluruhannya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din serta Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya.
Mohd. Bukhari berkata, kejayaan penganjuran TMB100 turut mendapat sokongan beberapa penaja termasuk Pro Apparel Asia, Boom+, Checkpointspot, EQool Enviro Sdn. Bhd. dan Brooks.
Katanya, penyertaan komuniti larian, peminat aktiviti lasak serta orang ramai dialu-alukan kerana acara itu bukan sekadar memberi pengalaman perlumbaan, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan mempromosikan Kedah di peringkat antarabangsa.
“Selain menginspirasikan gaya hidup sihat, acara ini turut meraikan seni dan budaya serta membina legasi yang berkekalan untuk generasi akan datang.
“Bersama-sama kita mengangkat Baling sebagai destinasi yang dikenali dan dihormati melangkaui sempadan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, The Cultural Jam akan diadakan buat julung kali dengan kerjasama Baling Escapade Festival (BEF) 2026 sempena penganjuran TMB100.
Beliau berkata, festival yang mendapat tajaan Smartfix Pro Centre itu bertujuan mempromosikan keusahawanan tempatan, program seni budaya serta makanan tradisi menerusi Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
Katanya, penganjuran itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Kedah, MARA Kedah, KEDA dan Majlis Daerah Baling.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















