BERITA SEMASASUKAN

Lebih 21,000 peserta gamatkan Twincity Marathon 2026

PUTRAJAYA – Twincity Marathon 2026 terus membuktikan statusnya sebagai antara acara larian paling berprestij di negara ini apabila berjaya menarik penyertaan lebih 21,000 peserta dari 33 negara, sekali gus mencatat peningkatan ketara berbanding edisi terdahulu.

Sebagai pembuka tirai acara larian bagi tahun 2026, Twincity Marathon bukanlah nama asing dalam kalangan peminat sukan larian, malah jumlah penyertaan yang direkodkan saban tahun menunjukkan trend peningkatan memberangsangkan.

Jika pada edisi 2025 seramai 13,000 peserta mendaftar, penganjuran kali ini menyaksikan lonjakan penyertaan melebihi 21,000 orang, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 18,000 peserta.

Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd. (Ten Senses) selaku penganjur, Mohd. Bukhari Ismail berkata, pihaknya agak terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap acara yang kini memasuki edisi ke-11 sejak dianjurkan pada 2014.

“Kami membuka pendaftaran seawal Jun 2025 dan merancang untuk menutupnya pada Disember 2025, namun terpaksa menamatkan pendaftaran lebih awal pada November selepas jumlah penyertaan melebihi 21,000 orang.

“Peningkatan ini mungkin didorong oleh kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup aktif serta jenama Twincity Marathon yang semakin kukuh sebagai acara maraton terkemuka di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, edisi 2026 yang berlangsung pada 17 dan 18 Januari lalu di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya menawarkan enam kategori jarak larian iaitu 3 kilometer (km), 5 km, 10 km, 12 km, 21 km dan 42 km.

Menurutnya, kategori 12 km, 21 km dan 42 km dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kategori terbuka bagi peserta berusia 16 hingga 39 tahun dan kategori veteran untuk peserta berusia 40 tahun ke atas.

“Larian 10 km pula dikhususkan untuk kategori friendship run melibatkan penyertaan berkumpulan dan dibuka kepada semua peringkat usia.

“Bagi kategori 5 km, penyertaan melibatkan peserta berusia lima tahun ke atas, manakala larian 3 km dikhaskan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun serta remaja berusia 13 hingga 17 tahun,” katanya.

Mohd. Bukhari menjelaskan, acara tumpuan setiap tahun melibatkan jarak larian 12 km, 21 km dan 42 km yang mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi.

Pada edisi kali ini, seramai 4,500 peserta menyertai kategori 12 km, manakala 21 km dan 42 km masing-masing mencatatkan 10,600 dan 3,500 peserta.

Tiga kategori lain iaitu 10 km, 5 km dan 3 km pula masing-masing disertai 1,300, 1,500 dan 200 peserta.

Beliau berkata, sedikit perubahan laluan dilakukan bagi memberi pengalaman berbeza kepada peserta selain membolehkan mereka menikmati keindahan pemandangan di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

“Lebih 85 peratus peserta berjaya menamatkan larian mengikut masa yang ditetapkan bagi setiap kategori,” katanya.

Dalam kategori 42 km lelaki terbuka, pelari negara, Muhamad Haziq Hamzah muncul juara dengan catatan masa 2 jam 41 minit 41 saat, manakala kategori wanita terbuka dimenangi Noor Pamela Musa dengan masa 3 jam 13 minit 05 saat.

Kategori veteran lelaki dimenangi Nik Fakaruddin Ismail (2:48:37), sementara Lee Siok Chin mengungguli kategori veteran wanita.

Bagi kategori antarabangsa 42 km, kemenangan menjadi milik Kazuto Sato (lelaki) dan Vu Khanh Linh (wanita).

Sementara itu, acara 21 km terbuka dimenangi Wan Azizul Wan Rosley (lelaki terbuka), Chua Khit Yeng (wanita terbuka), Muhaizar Mohamad (veteran lelaki), Ng Mei Mei (veteran wanita), David Kibet (antarabangsa lelaki) dan Nami Kanai (antarabangsa wanita).

Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi kemenangan.

Mohd. Bukhari berkata, Twincity Marathon bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya menjadi simbol semangat kesukanan dan perpaduan yang merentas usia, jantina, bangsa dan negara.

Sejak mula dianjurkan pada 2014, acara itu telah menarik lebih 70,000 peserta dari pelbagai negara.

Twincity Marathon 2026 mendapat sokongan Perbadanan Putrajaya, Pulse Group, Majlis Perbandaran Sepang, Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Selgate Corporation, Rokeby, Boom+, Paramount Corporation Berhad dan Kahf.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button